Ahad, 25 Julai 2010

Lagu Nilam

NILAM

Membaca dan belajar amalan hidup mulia
Jadikanlah panduan wawasan anda
NILAM program membaca memberi semangat
Membaca dengan jaya budaya kita

Bina tabiat membaca matlamat NILAM kita
Ganjaran yang diberi tidak terhingga
Jadi rakan pembaca juga capai jauhari
Pembaca yang bestari anugerah diberi

NILAM, NILAM Anugerah NILAM
Menerangi jalan suram
NILAM, NILAM Anugerah NILAM
Idaman pembaca jaya

Membaca dan belajar amalan hidup mulia
Bina tabiat membaca matlamat NILAM kita
Dunia indah sekali pasti lebih berseri
Amalan membaca menjana minda bestari

Lagu : Rosli Bin Ahmad
Lirik : Nazura Bt Mohamad

Dengarkan Lagu NILAM:

Sabtu, 24 Julai 2010

Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM)

NADI ILMU AMALAN MEMBACA (NILAM)

Apakah dia Nilam ?
Nilam ialah singkatan bagi Nadi Ilmu Amalan Membaca. Ia adalah satu program yang dirangka khas bagi sekolah-sekolah menjalankan program bacaan dikalangan pelajar-pelajar.


1. LATAR BELAKANG

Terdapat beberapa kajian dan dapatan mengenai tabiat membaca di negara ini. Kajian tersebut mendapati taraf membaca rakyat Malaysia masih rendah.

1.1. Kajian terkini mengenai tabiat membaca Yang dijalankan oleh FrankSmall & Associates bagi pihak Perpustakaan Negara Malaysia tahun 1996 menunjukkan adanya perbezaan ketara antara kadar literasi dan tabiat membaca. Kadar literasi negara mencapai 93% manakala kadar mereka yang membaca buku hanya mencapai 87% sahaja. Kajian tersebut juga mendapati rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun.

1.2 Pihak UNESCO yang membuat anggaran tahap literasi setiap 5 tahun menganggarkan tahap literasi rakyat Malaysia bagi tahun1995 ialah 84%.

2. RASIONAL

Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah.
Walau bagaimanapun, kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berterusan.

3. PENDEKATAN

Pendekatan yang wajar diambil dalam pembinaan tabiat membaca mesti berupa paksaan yang berterusan. Oleh itu, program ini adalah program yang berterusan, bermula dari tahun 1999.

3.1 Kumpulan Sasar
Usaha membentuk budaya suka membaca di kalangan generasi kini perlu dimulakan dari peringkat kanak-kanak lagi. Dalam konteks institusi pendidikan, kanak-kanak di peringkat sekolah rendah diberi tumpuan utama. Pada masa yang sama, aktiviti ini juga dilaksanakan di kalangan murid sekolah menengah. Pelaksanaan program yang dicadangkan, adalah secara berterusan bermula dengan Tahun 1.

3.2 Aktiviti Galakan Membaca
Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan dengan jayanya di sekolah-sekolah perlu diterus dan diperluaskan. Bagi sekolah-sekolah yang belum mempunyai program bacaan perlulah memulakannya. Dalam konteks ini, pihak sekolah hendaklah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai, praktis dan berkesan dalam menyemai, memupuk dan mengembangkan tabiat suka membaca.

3.3 Bahan Bacaan
Bahan bacaan yang wajar digunakan ialah koleksi buku-buku Pusat Sumber yang sedia ada. Selain daripada Pusat Sumber Sekolah, bahan bacaan boleh diperolehi daripada Perpustakaan Awam, Perpustakaan Bergerak, Perpustakaan Desa dan lain-lain. Pihak sekolah boleh mendapatkan khidmat agensi-agensi yang berkenaan bagi kemudahan pinjaman bahan.

3.4 Masa
Menurut Kajian Tabiat Membaca ( UPM,1997 ) kira-kira 15% sahaja pembelajaran yang melibatkan pembacaan. Kebanyakan latihan membaca itu dilakukan dalam masa yang singkat dan tidak berterusan. Oleh itu, masa pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah perlu juga dimanfaatkan untuk memperkukuhkan kemahiran dan minat membaca.
Disarankan supaya cadangan-cadangan dibawah ini dapat dilaksanakan :-

a. Dimasukkan aktiviti membaca dalam jadual waktu umpamanya satu waktu dalam pelajaran bahasa. Jumlah waktu yang diperuntukan bagi pelajaran bahasa membolehkan aktiviti membaca dijalankan.

b. Diberi masa khas untuk semua warga sekolah terlibat dengan membaca. Contohnya, 10 minit sebelum dan selepas waktu sekolah dan waktu rehat.

c. Diperuntukkan waktu untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahira membaca.

d. Menggunakan waktu pengajaran bahasa di kelas peralihan seperti yang terkandung dalam Pekeliling Bil. 17/1998.

e. Ditekan dan digalakkan penggunaan masa senggang untuk membaca. Contohnya: semasa menunggu bas, waktu rehat, waktu sebelum mula belajar dan waktu lapang sama ada di dalam dan di luar sekolah, murid-murid membaca buku.

d. Diteruskan pelbagai aktiviti membaca seperti ulasan buku oleh murid dan guru semasa perhimpunan mingguan dan waktu-waktu lain yang bersesuaian.

3.4 Pusat Sumber Sekolah ( PSS )
Kejayaan sesuatu program bacaan banyak bergantung kepada pengurusan Pusat Sumber yang cekap. Di samping Pengetua dan Guru Besar, peranan guru PSS amat penting untuk menerajui pengurusan PSS sebagai nadi penggerak aktiviti membaca. Pusat Sumber Sekolah adalah pusat ilmu, pusat penemuan, pusat pengajaran dan pembelajaran, pusat profesional serta pusat hubungan sosial. Ia memerlukan prasarana yang dibangunkan dengan menitik beratkan dari segi keselesaan dan bahan bacaan yang sesuai dan mencukupi. Aktiviti meningkatkan keberkesanan juga harus dijalankan seperti pertandingan Pusat Sumber, kemahiran penggunaan Pusat Sumber Sekolah dan lain-lain.

3.5 Penglibatan Ibu Bapa
Aktiviti membaca di sekolah akan menjadi lebih aktif dan berkesan sekiranya ada kesinambungan di rumah. Dengan demikian, para ibu bapa seharusnya menggunakan peluang ini untuk menanam minat membaca dari peringkat awal lagi. Ibu bapa seharusnya menjadi model dan sumber inspirasi kepada anak-anak. Di samping memberi galakan dan dorongan secara berterusan, ibu bapa juga perlu meluangkan masa membaca bersama anak-anak dalam persekitaran rumah yang berorientasikan bacaan.

4. CADANGAN PROGRAM

Pelbagai program dan aktiviti membaca telah dan sedang dijalankan di sekolah-sekolah sehingga kini, maka dicadangkan agar dilaksanakan satu program yang menggabungkan kesemua aktiviti membaca tersebut. Program ini dinamai NILAM ( Nadi Ilmu Amalan Membaca ). NILAM merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.

4.1 Matlamat
Matlamat program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca buku di kalangan murid-murid.

4.2 Objektif
Pelaksanaan program membina tabiat membaca ialah untuk :-

a. Menjadikan murid banyak membaca buku.
b. Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif untuk diserapkan ke dalam program ini.

4.3 Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu percambahan penyertaan murid dan pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA ( RP ).

a. Tahap Pertama
Tahap ini dinamakan JAUHARI. Di tahap ini semua murid diwajibkan mengikuti aktiviti galakan membaca yang dirancang dan dijalankan oleh PSS sepanjang tahun.

• Murid mula mengikuti aktiviti sebaik sahaja mereka menguasai kemahiran asas membaca ( Pertengahan Tahun 1 ). Aktivti ini akan bermula pada bulan Jun 1999 bagi Sekolah Rendah.
• Murid diberi kemudahan meminjam buku melalui PSS untuk aktiviti galakan membaca yang dijalankan. Pada kebiasaannya, murid meminjam pada kadar sebuah buku dalam dua minggu. Dengan pengiraan tersebut, kemampuan murid membaca sepanjang tahun dapat diklasifikasikan seperti dalam SR 1 dan SM 1.

Nota: Murid Tahun 6, Tingkatan 3 & Tingkatan 5 dianggap mempunyai peluang pada 6 bulan pertama untuk menyertai program ini dengan aktiviti diperlahankan pada 6 bulan kedua.

Sistem Ganjaran JAUHARI

Berdasarkan kadar bacaan tersebut setelah tamat persekolahan rendah dan menengah, murid diberi ganjaran atau pengiktirafan sejajar dengan tahap pencapaian mereka. Pengiktirafan ini diterakan dalam Buku Rekod Kemajuan Murid, Sijil Berhenti Sekolah dan Surat Akuan Sekolah. Cadangan pengiktirafan ialah seperti berikut, dengan mengambil kira kemampuan purata murid setelah bersekolah 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah.

SEKOLAH RENDAH

JUMLAH BACAAN / BUKU PENGIKTIRAFAN
135 – 233 Gangsa
234 - 332 Perak
333 – 431 Emas
432 – Ke atas NILAM

JADUAL SR 2

SEKOLAH MENENGAH
JUMLAH BACAAN / BUKU PENGIKTIRAFAN
144 – 233 Gangsa
234 – 323 Perak
324 – 413 Emas
414 – Ke atas NILAM

JADUAL SM 2


b. Tahap Kedua

Ciri-ciri tahap kedua NILAM ialah mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Tahap ini dinamakan RAKAN PEMBACA ( RP ). Tahap ini dilakukan sekiranya tahap pertama telah dapat disempurnakan. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca.

Murid yang mencapai tahap ini bolehlah diberi lencana sebagai pengiktirafan mereka memasuki Tahap Ke-II (Rakan Pembaca).

Guru-guru Pusat Sumber Sekolah,Guru-guru Bahasa Malaysia/ Bahasa Inggeris boleh mengambil murid ini untuk sessi bercerita dengan murid-murid lain secara formal / tidak formal. Contoh -
Semasa rehat, ada kelompok-kelompok kecil Rakan Pembaca akan bercerita / mereka bercerita semasa waktu Pusat Sumber Sekolah. Rakan Pembaca ini boleh disifatkan sebagai "Ambassador Pusat Sumber Sekolah" kerana dengan bercerita kepada rakan-rakan sebaya / adik-adik ditahap I, mereka dapat menarik murid-murid lain suka membaca.

4.4 Jenis bahan bacaan adalah tertumpu kepada BUKU sahaja. Buku yang perlu dibaca mestilah dalam Bahasa Malaysia / Bahasa Inggeris



Sumber artikel NILAM ini dipetik dari:
Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kerian

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | Best Buy Printable Coupons
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...